agama islam - tenangkan jiwa

sama sama lah kito cari kebenaran sesungguh kebenaran sajalah yg akan membatalkan yg batil dlm kehidupan kita seharian...

Saturday, August 05, 2006

Bab Mandi Wajib - Hadas Besar

PENGERTIAN MANDI

Dari segi bahasa, mandi bererti mengalirkan air ke seluruh badan.
Dari segi syara‘, mandi bermaksud mengalirkan air ke seluruh badan dengan niat yang tertentu.
PERKARA YANG MEWAJIBKAN MANDI

1. Bertemu dua khitan iaitu apabila masuknya hasyafah zakar atau sekadar yang ada bagi zakar yang kudung ke dalam farj perempuan yang masih hidup dengan sempurna walaupun tidak keluar mani.
2. Keluar mani walaupun sedikit dengan sengaja atau pun bermimpi.
3. Keluar haidh, iaitu darah semulajadi yang keluar dari pangkal rahim ketika wanita dalam keadaan sihat pada waktu yang tertentu.
4. Melahirkan anak atau bersalin (wiladah).
5. Keluar nifas, iaitu darah yang keluar selepas bersalin.
6. Mati, kecuali mati syahid.

FARDU MANDI
1. Berniat pada permulaan kena air pada badan.
Bagi orang yang berjunub niatnya ialah mengangkat janabah atau hadath besar. Niatnya seperti berikut:
Maksudnya:“Sahaja aku mandi junub kerana Allah Ta`ala”.
atau
Maksudnya:“Sahaja aku mengangkat hadath besar kerana Allah Ta`ala”.
Bagi orang yang datang haidh atau nifas niatnya ialah mengangkat hadath haidh atau nifas. Niatnya adalah seperti berikut:
Maksudnya:“Sahaja aku mandi daripada haid kerana Allah Ta`ala”.
atau
Maksudnya:“Sahaja aku mandi daripada nifas kerana Allah Ta`ala”.
2. Menghilangkan najis yang terdapat pada tubuh badan.
3. Meratakan air ke seluruh badan terutama kulit, rambut dan bulu.

PERKARA SUNAT SEMASA MANDI
Terdapat banyak perkara sunat semasa mandi, antaranya:
1. Membaca “basmalah” iaitu lafaz
2. Berwudhu’ sebelum mandi.
3. Membasuh dua tapak tangan.4. Menggosok seluruh bahagian badan.
5. Mendahulukan anggota tubuh yang kanan daripada yang kiri.
6. Mengulangi membasuh anggota tubuh sebanyak tiga kali.
7. Berturut-turut iaitu tidak berlaku perceraian yang lama di antara membasuh sesuatu anggota dengan anggota yang lain.

MANDI-MANDI SUNAT
Mandi-mandi yang disunatkan adalah seperti berikut:
1. Mandi hari Juma‘at bagi orang yang hendak pergi sembahyang Juma‘at. Waktunya dari naik fajar sadiq.
2. Mandi hari raya fitrah dan hari raya adhha. Waktunya adalah mulai dari tengah malam pada hari raya itu.
3. Mandi kerana minta hujan (istisqa’).
4. Mandi kerana gerhana bulan.
5. Mandi kerana gerhana matahari.
6. Mandi kerana memandikan mayat.
7. Mandi kerana masuk agama Islam.
8. Mandi orang gila selepas pulih ingatannya.
9. Mandi orang yang pitam selepas sedar dari pitamnya.
10. Mandi ketika hendak ihram.
11. Mandi kerana masuk Makkah.
12. Mandi kerana wuquf di ‘Arafah.
13. Mandi kerana bermalam di Muzdalifah.
14. Mandi kerana melontar jumrah-jumrah yang tiga di Mina.
15. Mandi kerana tawaf iaitu tawaf qudum, tawaf ifadhah dan tawaf wida‘.
16. Mandi kerana sa‘i.
17. Mandi kerana masuk ke Madinah.

Bab Najis

PENGERTIAN NAJIS

Dari segi bahasa, najis bererti benda kotor seperti darah, air kencing dan tahi.
Dari segi syara`, najis bermaksud segala kekotoran yang menghalang sahnya solat.

PEMBAHAGIAN NAJIS
Najis dari segi ‘ainnya terbahagi kepada dua:

1. Najis haqiqiyy, iaitu benda kotor sama ada beku atau cair dan sama ada dapat dilihat atau tidak. Ia terbahagi kepada tiga:

i. Mughallazah (berat), iaitu anjing, khinzir dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

ii. Mukhaffafah (ringan), iaitu air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan selain menyusu dan belum mencapai umur dua tahun.

iii. Mutawassitah (pertengahan), iaitu selain dari dua jenis di atas seperti darah, nanah, tahi dan sebagainya.
Semua bangkai binatang adalah najis kecuali ikan dan belalang. Kulit bangkai binatang menjadi suci apabila disamak kecuali kulit khinzir, anjing dan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satunya.

2. Najis hukmiyy, iaitu kekotoran yang ada pada bahagian tubuh badan iaitu hadath kecil yang dapat dihilangkan dengan berwudhu’ dan hadath besar (janabah) yang dapat dihilangkan dengan mandi, atau tayammum apabila ketiadaan air atau uzur daripada menggunakan air.

NAJIS YANG DIMAAFKAN

Tiada sebarang najis yang dimaafkan. Walaupun begitu, syara` memberi kemaafan terhadap kadar benda najis yang sedikit yang sulit untuk dielakkan, begitu juga untuk memudahkan dan bertolak ansur kepada umatnya. Oleh yang demikian, najis-najis berikut adalah dimaafkan:

1. Najis yang tidak dapat dilihat oleh pandangan sederhana seperti darah yang sedikit dan percikan air kencing.

2. Darah jerawat, darah bisul, darah kudis atau kurap dan nanah.

3. Darah binatang yang tidak mengalir darahnya seperti kutu, nyamuk, agas dan pijat.

4. Tempat berbekam, najis lalat, kencing tidak lawas, darah istihadhah, air kurap atau kudis.

CARA MENYUCI NAJIS

Cara menghilangkan najis ialah dengan beristinja’, membasuh dan menyamak.
Cara menyucikan najis haqiqiyy pula adalah seperti berikut:

1. Najis mughallazah (berat)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, salah satu daripadanya bercampur dengan tanah sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

2. Najis mutawassitah (pertengahan)
Hendaklah dihilangkan ‘ain najis itu terlebih dahulu, kemudian barulah dibasuh tempat kena najis dengan air sehingga hilang sifatnya (warna, bau dan rasa).

3. Najis mukhaffafah (ringan)
Hendaklah dihilangkan `ain najis itu terlebih dahulu, kemudian cukup sekadar direnjiskan atau dialirkan air ke atasnya.

· Untuk menyucikan najis hukmiyy iaitu yang tiada warna, bau dan rasa ialah dengan mengalirkan air ke atas tempat yang terkena najis tersebut.